Powered by Blogger.

    Followers

Tuesday, 14 February 2012

Tidak janji kekayaan

KUALA LUMPUR: “Apa yang berlaku kepada Alwi wajar menjadi pengajaran yang permainan judi komputer tidak menjanjikan kekayaan biarpun pemainnya menang, sebaliknya nyawa terancam,” kata Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan.

Menurutnya, selepas pihaknya melakukan siasatan sejurus menerima aduan lelaki itu, didapati wujud beberapa kumpulan tertentu dipercayai diupah untuk mengancam keselamatannya.

Beliau berkata, PPIM turut mendapati pemilik pusat judi terbabit mempunyai hubungan dengan sindiket judi antarabangsa yang mahu menyelesaikan masalah itu secara ‘jalan pintas’ iaitu dengan membunuh Alwi.

“Biarpun Alwi melakukan kesalahan apabila berjudi yang haram di sisi agama, kami tetap cuba membantunya apabila mendapati nyawanya terancam.

“Justeru, PPIM mencari jalan dengan mengadakan perbincangan dengan beberapa pihak termasuk pasukan keselamatan bagi membantunya keluar dari masalah ini,” katanya. Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Bakri Zinin menasihatkan Alwi membuat laporan polis dengan segera supaya kes berkenaan disiasat lebih terperinci kerana kes ini membabitkan nyawa.

“Kalau mangsa hanya mendakwa dia diburu samseng, polis tidak boleh membuat apa-apa tindakan kerana kes disiasat selepas menerima laporan.

“Langkah terbaik ialah mangsa perlu tampil segera membuat laporan kerana kita tidak tahu apa yang berlaku selepas ini,” katanya ketika dihubungi.

cr : myMetro

Sungai cantik

KUALA LUMPUR: Kawasan pesisiran Sungai Klang dan Sungai Gombak khususnya sekitar Masjid Jamek, di sini, yang menjadi ‘port’ lepak bagi warga asing bakal muncul sebagai lokasi pelancongan bertaraf dunia menerusi pelaksanaan projek Sungai Nadi Kehidupan tidak lama lagi.

Projek yang dicetuskan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu bukan saja bakal merubah persekitaran serta wajah ibu kota, malah meletakkan Kuala Lumpur setanding bandar raya terunggul lain seperti London, Paris, Melbourne dan Amsterdam yang terkenal dengan jalan airnya yang ikonik di mata dunia.


Tinjauan Metroplus di kawasan terbabit dan sekitarnya mendapati ketika ini pesisiran sungai berkenaan dimonopoli warga asing yang berpeleseran, menjadikan suasana di situ kurang selesa untuk orang ramai lebih-lebih lagi pelancong.

Suasana itu menyebabkan pelancong lebih tertumpu ke kawasan lebih selamat dan selesa seperti Bangunan Sultan Abdul Samad dan Dataran Merdeka.


Bagi penduduk, Roslan Sanip, 52, projek itu tidak hanya memberi kebaikan kepada masa depan ibu kota, malah mampu mendedahkan masyarakat mengenai sejarah bandar raya ini yang kurang diketahui umum.


“Daripada pengalaman saya, ramai anak muda kurang faham mengenai asal-usul Kuala Lumpur dan projek ini diharap menarik mereka untuk datang ke sini, sekali gus menimba ilmu sejarah kawasan ini.

“Diharap apabila projek ini siap, ia menjadi ikon pelancongan baru untuk Malaysia, sekali gus menjana ekonomi masyarakat menerusi perniagaan yang dijalankan di sekitarnya,” katanya ketika ditemui.


Pelancong dari Sweden, Mathhew Fox, 29, mengakui kawasan itu tidak begitu menarik untuk dikunjungi memandangkan ia sungai biasa dengan dipenuhi orang ramai yang melepak.

Justeru, dia percaya kejayaan projek ini akan menarik lebih ramai pelancong bagi melihat jalan air yang kini terdapat di negara maju terutama Amsterdam.


“Saya tidak sabar menanti projek ini siap dan akan berkunjung lagi ke sini (Malaysia) untuk menyaksikan keindahan sungai ini berbanding apa yang saya lihat sekarang,” katanya.


Sementara itu, jurucakap Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), berkata projek pengindahan Sungai Klang di Fasa 1 atau Presint 7 di kawasan Masjid Jamek akan menjadi lokasi pertama untuk dibangunkan di bawah projek itu membabitkan tiga komponen utama dalam projek itu ialah pembersihan, pengindahan dan pembangunan koridor sungai.


Katanya, pengkhususan projek itu akan menjadikan sungai berkenaan sebagai ikon kawasan tepian air (waterfront) negara membabitkan jarak sungai sepanjang 10.7 kilometer dalam kerangka projek Greater Kuala Kumpur dan Lembah Klang.


Baru-baru ini, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Ahmad Fuad Ismail menjelaskan projek itu secara keseluruhannya menelan belanja RM1 bilion dengan jumlah terbabit dikhususkan bagi mencantikkan sungai selain RM3 bilion untuk kerja pembersihan sungai.


Menurutnya, antara pelan yang bakal dilaksanakan termasuk menambah baik laluan pejalan kaki, membersihkan sungai, menanam lebih banyak pokok selain memasang kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar bandar raya selain memperkenalkan laluan air untuk warga kota.


Bagi merealisasikan hasrat itu, DBKL melantik Aecom Perunding Sdn Bhd bagi menguruskan pelan utama projek selain menjalankan kerja pengindahan koridor sungai seperti yang dinyatakan.

cr : myMetro

Whitney korban arak, dadah

LOS ANGELES: Whitney Houston dilaporkan mati akibat campuran sejumlah ubat-ubatan termasuk pil merawat tekanan dikenali dengan nama dagangan Xanax dan alkohol.

Sumber berkata, pegawai koroner Los Angeles memberi tahu keluarga Whitney, kandungan air di paru-paru penyanyi popular itu tidak mencukupi untuk menganggap dia lemas dalam tab mandi di bilik Hotel Beverly Hilton.


Malah, kata sumber itu, koroner percaya Whitney mati sebelum kepalanya tenggelam di dalam tab berkenaan.

Laman sesawang gosip TMZ melaporkan, mayat Whitney sebenarnya ditemui ibu saudaranya, Mary Jones, bukan pengawal peribadi seperti dilaporkan kelmarin.

“Anak perempuan Whitney, Bobbi Kristina, 18, juga dipercayai tertidur dalam tab mandi di hotel sama hanya 24 jam sebelum itu,” lapor TMZ.

Pengawal keselamatan terpaksa dipanggil untuk membuka kunci pintu bilik Bobbi dan kini keluarganya bimbang kejadian itu bukan secara kebetulan, sebaliknya cubaan remaja terbabit membunuh diri.

Sementara itu, Bobbi dikejarkan ke hospital dua kali dalam tempoh 24 jam ekoran penemuan mayat Whitney kelmarin.

Remaja terbabit dimasukkan ke hospital kali pertama selepas dipercayai pengsan akibat mengambil arak dan pil khayal diberikan anggota rombongan Whitney satu demi satu untuk menenangkannya.

Bobbi sekali lagi dilihat dibawa keluar dengan pengusung dari hotel berkenaan kira-kira jam 10.30 pagi - hanya beberapa jam sebelum mayat Whitney ditemui.


Sumber berkata, Bobbi terpaksa dikejarkan ke Hospital Cedars-Sinai untuk menerima rawatan bagi masalah tekanan melampau.

Beberapa jam kemudian, Bobbi dibenarkan keluar, tetapi rakan dan keluarganya tetap bimbang terhadap keadaan mentalnya.

Pada Khamis, Whitney dilihat berpesta sehingga mabuk dan sempat bergaduh dengan pengawal keselamatan pusat hiburan berkenaan.


Petang keesokan harinya, Whitney sekali lagi berpesta secara melampau.

Kata sumber, beberapa botol Lorazepam, Valium, Xanax dan ubat tidur ditemui di bilik Whitney.

“Ubat itu dipercayai bertindak sebagai penenang, menyebabkan Whitney tertidur dalam tab mandi sebaik saja ia bercampur dengan alkohol yang diambil petang sebelumnya,” katanya.

Pejabat koroner Los Angeles secara rasmi enggan memberi komen terhadap khabar angin mengenai penemuan air dalam paru-paru Whitney yang boleh mengaitkannya dengan insiden lemas.

Maklumat lanjut mungkin hanya dikeluarkan selepas semua siasatan disiapkan dan ia dijangka mengambil masa antara satu hingga dua bulan.

Polis juga tidak membenarkan sesiapa melawat mayat berkenaan selagi ia berada dalam kawalan mereka.

TMZ melaporkan, pada peringkat awal ramai pihak percaya mayat Whitney ditemui bekas teman lelakinya yang muda 17 tahun, Ray-J.


Namun, Ray-J mendakwa dia tidak berada “di mana-mana tempat berhampiran lokasi kejadian” tetapi tetap bersedih.

“Dia ada menghubungi saya melalui telefon tetapi tidak sempat dijawab,” katanya.

Ketika Whitney mati dan Bobbi dihantar ke hospital, bekas suami penyanyi itu, Bobby Brown, berada di Nashville.

Walaupun dilaporkan menangis akibat kematian Whitney, Brown tetap muncul di pentas bersama kumpulannya, New Edition, dan sempat menjeritkan “Aku sayang kamu, Whitney!” ketika konsert berkenaan. - DM

cr : myMetro

Lapan bulan terbiar

OMBAK: Selepas lebih lapan bulan sejak Taman Sri Gombak Town Villa di sini, ditimpa bencana tanah runtuh pada penghujung Mei tahun lalu, kerja baik pulihnya mengecewakan penduduk apabila sehingga kini tiada tindakan susulan.

Pengerusi Penduduk perumahan berkenaan, Zulkifli Abdul Rahman, berkata sejak bencana terbabit melanda kawasan rumah mereka, bekas runtuhan berkenaan hanya ditambak dengan tanah membabitkan 40 lori oleh pemilik lot tanah itu sendiri.

Katanya, beliau beberapa kali menghubungi Majlis Perbandaran Selayang (MPS) bagi mendapatkan maklum balas serta perkembangan berhubung perkara itu, sekali gus meminta pihak berkuasa tempatan (PBT) terbabit mempercepatkan kerja baik pulih sebelum insiden lebih buruk berlaku.

“Saya diberitahu, peruntukan untuk melaksanakan kajian berhubung struktur tanah oleh Kumpulan Ikram Sdn Bhd (Ikram) di kawasan runtuhan itu sudah diluluskan MPS, namun Ikram belum menerima bayarannya.


“Setiap kali hujan, kami berdebar-debar kerana risau kejadian itu berulang dan boleh menjadi lebih teruk disebabkan struktur tanah tidak stabil. Malah, perkara ini juga membabitkan keselamatan penduduk Kampung Sungai Chin Chin di kaki bukit perumahan kami,” katanya ketika dihubungi, semalam.


Menurutnya, lebih merisaukan penduduk apabila sijil layak menduduki (CF) sementara diberikan MPS yang tamat pada September tahun lalu tidak diperbaharui seolah-olah rumah mereka tidak selamat didiami.

Sementara itu, jurucakap MPS berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan bersama pemilik tanah terbabit berhubung perkongsian kos untuk memperbaiki runtuhan itu dalam masa terdekat.

“Laporan kejadian itu sudah siap disediakan MPS, malah sudah pun dibawa kepada pihak Ikram untuk perhatian lanjut dan kami perlu menunggu hasil perbincangan bagi mencari kata sepakat sebelum melaksanakannya,” katanya. Harian Metro Mei tahun lalu melaporkan kebimbangan lebih 200 penduduk perumahan berkenaan selepas tebing bukit berhampiran rumah mereka runtuh dan pada masa sama hakisan tanah berlaku disebabkan hujan lebat beberapa hari sebelumnya.

Cr : myMetro

Lebih 3.7 juta rakyat Malaysia belum daftar sebagai pemilih

KANGAR: Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof mengingatkan lebih 3.7 juta rakyat Malaysia yang berumur 21 tahun dan ke atas yang masih belum mendaftar sebagai pemilih, agar jangan menyesal jika mereka tidak berpeluang mengundi pada pilihan raya umum ke-13.

Beliau mengharapkan 3,731,134 rakyat Malaysia ini yang layak menjadi pemilih agar mendaftar bagi membolehkan mereka berpeluang mengundi pada pilihan raya umum akan datang.
Bagi suku tahun ketiga tahun lalu, hanya 12,400,437 yang diwartakan sebagai pemilih berbanding rakyat yang layak mendaftar sebanyak 16,131,571 orang, katanya kepada pemberita selepas merasmikan program taklimat untuk pegawai-pegawai pengurus pilihan raya dan penolong-penolong pegawai pengurus peringkat negeri Perlis di sini hari ini.

Abdul Aziz berkata ada yang mengambil mudah dengan tidak mendaftar sebagai pemilih tetapi mereka pasti menyelesal jika tidak berpeluang menentukan masa depan negara melalui haknya sebagai pemilih.


"Jika ingin menjadi pemilih, mereka perlu mendaftar awal kerana ia bukan proses yang singkat. Pada masa ini 23 peratus rakyat Malaysia yang layak mengundi tidak mendaftar," katanya. - Bernama

Cr : myMetro

AirAsia lancar jualan besar-besaran pertama tahun ini

KUALA LUMPUR: Syarikat penerbangan kos rendah, AirAsia, kini sedang menganjurkan Jualan Besar-Besaran di kesemua laluan AirAsia dan AirAsia X, dengan bayaran tambang keseluruhan sehala serendah RM19.

Promosi itu diadakan dari 15 Februari hingga 19 Februari dan tempoh perjalanan ialah dari 11 September, 2012 hingga 31 Januari, 2013, demikian menurut AirAsia di dalam kenyataan hari ini.
Tambang meliputi kesemua bayaran sehala dari RM19 ke destinasi domestik seperti Alor Setar, Pulau Pinang, Langkawi, Kota Bahru manakala penerbangan ke destinasi di Sabah dan Sarawak termasuk Kuching, Bintulu, Sibu dan Miri sahaja bernilai RM29 sehala.

Syarikat penerbangan itu berkata penumpang juga boleh terbang ke destinasi popular seperti Bali, Phuket, Singapura dan Bandaraya Ho Chi Minh pada harga dari RM49 dan ke tempat lain seperti Hanoi, Da Nang dan Siem Reap dari RM89.

Sebagai tambahan, tambang ke destinasi termasuk Guangzhou, Hong Kong, Macau, Guilin, Shenzhen dan Colombo ditetapkan dari RM139 sehala.

Sementara itu, AirAsia X menawarkan tambang serendah RM169 sehala ke Jepun (Osaka dan Tokyo) dan China (Hangzhou, Tianjin dan Chengdu) dan RM199 sehala ke Seoul, Taipei dan beberapa destinasi di Australia.

Bagi melengkapi tempahan penerbangan, AirAsiaGo akan turut menawarkan pakej hotel dari serendah RM89.

Bagi yang berminat, boleh mendapatkan butiran dari laman web AirAsia di www.airasia.com - Bernama

Cr : myMetro

Wednesday, 8 February 2012

[PHOTO] Hello Baby 5 - Leo



cr : real owner

About Me

My Photo
aina
I'm so thankful for your attention. Free to repost or take any photos and videos here. It's ok if you didn't write credit from my blog, but please write down all the credit under post. Because some post I just re-upload.I respect all those who took and share photos or video.tQ..
View my complete profile